Bab 2: Nota Mengancam Maut

Julia masuk ke rumahnya dengan langkah lesu. Dia sudah terlalu penat dengan persembahannya tadi. Apa yang diharapkannya sekarang katil untuk berbaring bagi meghilangkan lelah yang menggigit-gigit seluruh tubuhnya itu. Tetapi matanya terpaku kepada sejumlah surat-surat di atas sebuah meja di ruang tamu. Hasrat hendak tidur, terhenti di situ saja.
Sudah menjadi kelazimannya membaca surat-surat peminat apabila pulang ke rumah. Biar dalam keadaan sesibuk mana atau sepenat mana pun, akan dicuri sedikit masa untuk membaca surat-surat dari peminat. Surat-surat dati peminat adalah hiburan paling manis buatku, Julia selalu berkata begitu kepada teman-teman rapatnya. Surat-surat di atas meja kecil itu dicapainya. Kakinya menghayun ke bilik tidur bersama surat-surat di tangannya.
Julia merebahkan diri ke atas katil dengan matanya meneliti beberapa keping surat. Tiba-tiba matanya terpaku kepada satu envelope besar yag bertulis dengan huruf-huruf kasar: KHAS UNTUKMU JULIA. Julia segera membuka envelope besar itu. Ketika surat yang dalam envelope besar itu dibacanya tiba-tiba wajahnya yang lesu dan letih itu bertukar cemas. Julia meluaskan matanya. Kemudian mengenyeh-genyeh kelopak matanya. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dibacanya pada surat itu.
MAUT MENANTIMU JULIA. JANGAN KHAYAL DENGAN GLAMOURMU!
Julia membaca dan terus membaca tulisan-tulisan dengan huruf besar itu. Setiap kali membacanya terasa bergegar tangkai jantungnya. Bagaikan maut sudah begitu dekat dengan dirinya. Matanya memandang ke sekeliling bilik tidurnya itu. Segala yang dilihat sekelilingnya seperti tangan-tangan yang menghunus senjata tajam untuk menikam badannya. Tubuhnya menggigil dan peluh mengalir di tengkuknya.
Telefon di meja kecil berdekatan dengan katil berbunyi. Mata Julia melirik ke arah telefon itu dengan pandangan penuh ketakutan. Ini mesti panggilan ancaman maut, bisiknya dalam hati. Bunyi telefon itu sungguh menakutkan Julia.
Bunyi telefon tidak henti-henti.
Julia kuatkan semangat dan tenaga untuk mengangkat telefon. Dengan tangan terketar, dia mencapai gagang telefon. Dengan hati-hati pula dia membawa gagang telefon ke hujung telinganya. Dia merasakan satu suara penuh ancaman yang didengar oleh telinganya.
"Julia, how are you baby?" Suara itu mengemukakan pertanyaan dengan nada lembut dan mesra.
"Oh, Encik Razlan. Saya baik. Encik Razlan apa khabar?" Julia rasa tenang bila mengenali suara orang yang dihormatinya itu.
"Khabar baik Julia." Balas Razlan dengan suara garaunya tetapi begitu manja sekali dan menambah, "Tahniah atas kejayaan show awak tadi. Tapi, mengapa tak call saya akhir-akhir ini?"
"Saya sibuk dengan latihan show, shooting dan macam-macam hal lagi." Julia dengan lembut memberikan penjelasan dalam rasa cemas yang semakin berkurangan.
"Tak apa. Saya faham. By the way, apa kata kalau kita jumpa malam ini di coffee house?"
"Sorry Encik Razlan." Julia menolak dengan memberi alasan, "I can't make it. Saya baru balik dari show. Saya letih. Lain kali sajalah, ya!"
"Okey, some other times. Jangan lupa hubungi saya nanti bila awak free. Bye...."
Julia meletakkan gagang telefon dengan perasaan yang tenang sedikit. Tetapi tidak lama ketengangan itu bersarang di hatinya. Dia kembali cemas ketika surat yang mengancam nyawanya dibaca semula. Benarkah ini ancaman yang akan jadi kenyataan? Julia bertanya pada dirinya. Fikirannya berbulak-balik mencari sebab kenapa dirinya menjadi mangsa ancaman maut. Seingatnya dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Dia tidak pula mencapai kejayaan dengan memijak kepala orang lain. Malahan dia sentiasa bersikap terbuka dan cuba menjaga hati semua orang.
Dengan kepala yang berserabut itu Julia bangkit dari katil. Dia menanggalkan pakaian yang dipakainya untuk show tadi. Dia menarik pakaian tidur dari almari. Pakaian tidur nipis berwara merah jambu itu dikenakan ke badannya. Dia berjalan semula ke katil untuk berbaring. Kedua tangannya diletakkan ke bawah tengkuknya dengan mata terkelip-kelip menghala ke siling.
Mulutnya menguap beberapa kali. Rasa mengantuk sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Tetapi dia tidak dapat tidur juga. Seperti ada batu besar yang menghalang matanya dari hanyut tidur.
"Kenapalah nyawa aku diancam?" Pertanyaan itu terus melilit di seluruh kotak kepala Julia. Matanya yang sarat dengan rasa mengantuk menjadi segar pula. Julia mengiring ke kiri. Berbalik ke kanan. Meniarap pula dengan kedua kakinya dibengkang-bengkok.
Berada dalam keadaan resah dan cemas gitu memang satu penyeksaan besar buat Julia. Dia teringatkan pil tidur. Kalau ada pil tidur bolehlah aku tidur, fikirnya. Tetapi Julia tidak pernah meggunakan pil tidur sepanjag hidupnya. Dia tahu pil tidur boleh mendatangkan mudarat kalau disalahgunakan. Tetapi alangkah bergunanya pil tidur buat aku malam ini, fikirnya kembali. Mata Julia terus memandang ke sekeliling bilik.
Julia tidak sedar entah bila dia tertidur.
Sedar-sedar ada bunyi ketukan di pintu bilik tidurnya. Julia membuka mata dengan pandangan berpinar-pinar. Sakit hati kerana tidurnya diganggu. Pada hal dia amat memerlukan tidur yang secukupnya. Dia megenyeh-genyeh kelopak matanya dengan belakang tangannya.
"Masuk...." Suara malas keluar dari mulut Julia.
Julia menanti orang yang disuruh masuk membuka pintu. Tetapi ketukan juga yang masih didengarinya. Barulah Julia teringat pintu bilik itu terkunci. Dengan rasa malas yang amat sangat dia bangun dari katil menuju ke pintu.
"Siapa?" Tanya Julia sebelum membuka kunci pintu.
"Kak Jah." Sahut suara di luar. Julia membuka pintu dengan sisa-sisa keletihan.
"Cik Julia, Encik Osman ada di luar. Dia nak jumpa Cik Julia." Pembantu rumah yang bernama Khatijah itu memberitahu.
"Apa lagi yang dia mau?" Tanya Julia separuh bersungut.
"Entahlah." Pembantu rumah itu geleng-geleng kepala.
"Suruhlah dia tunggu sebentar." Kata Julia sambil segera masuk ke bilik mandi. Selalunya dia mengambil masa yang lama jika berada di dalam bilik mandi. Namu kali ini, tidak sampai sepuluh minit, dia sudah menyiapkan diri untuk keluar menemui bapa saudara yang menunggu di ruang tamu.
"Apa khabar pak cik?" Tanya Julia lembut sambil duduk di sofa berhadapan dengan bapa saudaranya yang duduk di kerusi single seater.
"Baik, Julia. Aku nak minta duit sikit." Osman yang datang dengan kot kumal dan berseluar lusuh itu terus saja menyatakan hajatnya.
"Duit apa lagi pak cik?" Keluh Julia dengan wajah kesal.
"Kau jangan sombong, Julia." Osman bangun dari kerusi. "Aku bapa saudara kau, takkan kau tak boleh bantu aku!"
"Saya bukan tak mau tolong pak cik, tapi ini bukan caranya." Julia masih bercakap dengan nada lembut tetapi dengan air muka kesal.
"Kau jangan lupa Julia... aku yang menjaga kau semenjak kematian ibu bapa kau!" Osman mundar-mandir di depan Julia. "Jangan jadi kacang lupakan kulit. Mentang-mentang sekarang kau dah senang... dah terkenal... kau nak lupakan aku pulak."
"Berapa yang pak cik mau?" Tanya Julia sambil mendegus.
"Sepuluh ribu ringgit!" Jelas dan keras Osman menyebut jumlah yang dikehendakinya.
"Sepuluh ribu ringgit?" Tanya Julia separuh menjerit. "Kenapa begitu banyak? Bulan lepas saya dah beri tiga ribu ringgit."
"Kau ingat besar sangat ke tiga ribu riggit. Nilai duit sekarang kecil. Tiga ribu macam tiga ratus." Osman mencebikkan bibirnya yang sudah tua itu.
"Apa yang pak cik nak buat dengan duit sebanyak itu?" Tanya Julia dengan suara yang lembut pula.
"Aku nak bayar hutang. Kau apa tau!" Osman menunjukkan muka yang semakin garang membuatkan Julia tersandar berat di sofa. Mahu tak mahu apa yang dapat dikata. Julia sentiasa mengalah kepada permintaan bapa saudaranya itu. Julia kalah dengan budi bapa saudaranya itu di masa lalu terlalu besar terhadapnya.
Cek bernilai sepuluh ribu ringgit sekejapan berpindah dari tangan Julia ke tangan bapa saudaranya.


Julia menuju ke lokasi penggambaran dengan fikiran berserabut dengan masalah. Masalah paling besar ialah ancaman maut yang ditulis di sekeping surat yang dikirimkan kepadanya. Masalah bapa saudaranya yang tidak putus-putus meminta duit darinya tidak kurang juga menjadi beban fikirannya.
Dengan beban fikiran itu memang sulit untuk Julia memberikan tumpuan kepada lakonannya. Tetapi dia terpaksa tabah menghadapi gangguan mental. Dia tidak boleh mengambil mudah menjalani kerjayanya. Dia sedar kejayaan yang dimilikinya hanya dapat dipertahankan dengan mutu kerjanya yang terus dapat dikekalkan.
Tetapi konsentrasi Julia pada lakonan terjejas teruk.
"Action!" Pekik Arif, pengarah filem yang dianggap kreatif tetapi mempunyai sikap panas baran.
Julia mengatur langkah berjalan beriringan dengan Rita. Kamera ditolak engan menggunakan dolly mengikut gerak langkah Julia dan Rita. Pengarah Arif memerhati dengan teliti keadaan kedua-dua pelakon di bawah arahannya itu.
Sambil berjalan Julia mengucapkan beberapa patah dialog. Rita juga membuka mulut menuturkan dialog. Kedua-duanya berbalas dialog untuk seketika. Tiba-tiba kepala Julia menjadi kosong. Dialog-dialog yang perlu ducapkannya seterusnya hilang dari ingatannya.
"Cut!" Pengarah Arif yang sudah tidak dapat mengawal kemarahan menjerit. "Okey, kita wrap up. Kita buat scene ini minggu depan." Tambah pengarah itu dengan nada tinggi.
"Julia kau tak sihat ke?" Tanya Rita yang cuba mencari punca dari teman baiknya yang banyak buat silap dalam shooting hari itu.
Julia belum sempat menjawab soalan Rita, pengarah Arif sudah tercegat di sisinya.
"Maafkan saya Encik Arif. I'm sorry. I can't do it today." Julia dengan muka lembut memandang dalam-dalam wajah pengarah Arif.
"Dua puluh takes, Julia. Lima cans filem melayang masuk bakul sampah. Why? You tak pernah macam ni. Paling banyak tiga takes. Semua orang tau. You pelakon terbaik. You ada masalah peribadi ke?" Tanya penarah Arif dengan reaksi muka marah.
Julia hanya diam tetapi Rita yang membuka mulut. "Mungkin dia terlalu penat, Encik Arif!"
"Tak apalah. Sepatutnya habis scene tadi selesailah shooting filem kita. Nak buat esok, you ada hal pula." Pengarah Arif bersungut sambil melangkah pergi meninggalkan Julia yang cuba mengawasi perasaan sedih bercampur kesal.
"Bertenanglah Julia." Pujuk Rita. "Cakap terang-terang apa masalah sebenarnya yang kau hadapi." Rita cuba mencungkil masalah peribadi teman baiknya itu.
Julia terfikir-fikir seketika. Apakah patut dia memberitahu Rita mengenai surat ancaman maut yang diterimanya? Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menyimpannya dulu sebagai rahsia. Belum masanya memberitahu sesiapa, fikirnya. Julia terpaksa memikirkan jawapan yang lain terhadap pertanyaan Rita.
"Masalah peribadi tak adalah tapi sejak semalam badan aku tak berapa sihat dan kepala pun macam berat saja." Jelas Julia.
"Kalau begitu mari kita ke klinik." Rita membuat usul ketika masuk ke dalam kereta Julia yang terletak tidak jauh dari lokasi penggambaran.
"Tak payahlah. Kalau aku cukup berehat, baiklah tu." Julia menolak usul kawan di sebelahnya itu.
"Kau tu memang takut dengar klinik, dengar doktor. Macamlah doktor tu tukang cabut nyawa orang!" Rita bergurau dalam ketawa kecil.
Julia terasa cemas mendengar perkataan 'tukang cabut nyawa' yang keluar dari mulut kawan di sebelahnya itu. Dia segera teringatkan surat ancaman maut yang diterimanya. Mukanya berubah pucat.
"Kenapa muka kau pucat ni?" Tanya Rita yang sedar dengan perubahan di muka Julia secara mendadak itu.
"Tidak. Aku tak apa-apa. Sebenarnya aku terlalu letih!" Julia terus menyembunyikan persoalan sebenar yang mengacau kepalanya itu.
"Kalau begitu, kita baliklah ke rumah kau. Dari sana nanti aku boleh ambil teksi balik ke rumah aku."
"Tak apalah, aku terus hantar kau balik."
"Aku takut kau apa-apa dalam perjalanan pulang dari hantar aku." Rita menyuarakan kebimbangannya.
"Ah kau ni, macam aku kena sakit serius pulak. Aku tak apa-apalah. Tengok, aku masih boleh pecut kereta ni." Julia menekan minyak melajukan perjalanan kereta yang dipandunya.
Dalam pada itu Rita asyik memandang ke muka Julia. Macam ada sesuatu yang hendak diucap dari pandangannya itu. Julia perasan dengan pandangan itu membuatkan hatinya resah sedikit.
"Ada apa-apa ke di muka aku?" Tanya Julia serius.
"Ya, ada sesuatu!" Balas Rita tersenyum.
"Apa dia?"
"Ini dia...." Rita mencubit ringan pipi Julia sambil menambah, "Muka kau ni muka bertuah, buat apa pun jadi saja...."
Kedua-duanya ketawa berdekah-dekah.

Home | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14